KEBIMBANGAN
Pengenalan
Perasaan bimbang atau kebimbangan merupakan suatu pengalaman yang tidak menyenangkan dalam kehidupan manusia. Perasaan bimbang ini akan membuatkan manusia hidup dalam kerisauan, ketakutan, ketegangan dan tekanan. Tidak kira sama ada seseorang itu kanak-kanak, remaja atau dewasa, sekiranya dilanda perasaan bimbang maka perubahan emosi dan tingkahlaku juga akan berlaku. ....
Kajian tentang kebimbangan telah bermula apabila Freud (1939) telah menerbitkan bukunya yang terkenal mengenai kebimbangan bertajuk "The Problem of Anxiety" dan dari sini maka kajian-kajian mengenai kebimbangan terus berkembang. Kelly (1955) menyatakan bahawa manusia menggunakan sistem konstruk untuk menjangkakan apa yang akan berlaku dalam hidupnya dan kebimbangan wujud apabila kita berhadapan dengan peristiwa-peristiwa di luar kawasan keselesaan.
Tingkah laku kebimbangan boleh menimbulkan gerak balas dalaman terhadap perasaan, pemikiran, tindakan psikologi dan juga konflik tingkah laku. Frued, S (1977) menyatakan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada tingkah laku berbanding dengan perasaan kerana tingkah laku boleh diubah, tetapi realiti juga berpendapat bahawa manusia tidak boleh mengarahkan dirinya untuk merasa lebih baik tetapi manusia boleh mengarahkan dirinya untuk melakukan sesuatu yang lebih baik.
Kebimbangan dalam sukan
Sukan amat penting dalam kehidupan kerana sukan bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan seseorang, malah membantu menaikkan imej negara. Malangnya atlit begitu bimbang apabila menyertai sebarang kegiatan sukan terutamanya apabila sebelum dan semasa pertandingan yang disertai oleh mereka hingga menjejaskan prestasi mereka.
Masalah kebimbangan dan tidak merasa yakin semasa menghadapi apa jua pertandingan sering menganggu perasaan atlit-atlit. Perasaan bimbang ini berlaku kepada semua atlit tanpa mengira usia dan tahap kemahiran. Kebimbangan merupakan salah satu elemen yang boleh mengugat prestasi individu dalam sukan. Terdapat punca-punca khusus yang akan membuatkan seseorang itu merasa tertekan dan menjadi bimbang.
Kegagalan melakukan tindakan yang sepatutnya di saat-saat genting sering kali menjadi penyebab kepada kekalahan pemain atau pasukan ternama. Kegagalan melakukan tindakan yang tepat ini berkemungkinan besar berpunca dari tekanan serta peningkatan tahap kebimbangan sehingga menyebabkan individu yang berkenaan tidak mampu memberikan tumpuan serta berfikiran baik sebelum membuat sesuatu keputusan. Kesannya, tindakan yang dibuat di bawah tekanan sering kali memakan diri.
Menurut Levitt, 1980 (dalam Shaharudin Abd. Aziz., 2001), kebimbangan berpunca dari kebangkitan fisiologikal dan stres yang dihasilkan berdasarkan kepada interpretasi negatif yang telah dibuat oleh individu tersebut. Levitt telah mengkategorikan kebimbingan kepada dua iaitu kebimbingan tret (trait anxiety) yang merujuk kepada ciri-ciri personaliti individu dan kebimbangan seketika (state anxiety) yang merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu.
Definisi Kebimbangan
Menurut Mohammed, 1992 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee., 2003), kebimbangan boleh didefinasikan sebagai satu keadaan negatif yang dialami oleh manusia dan merupakan gabungan antara perasaan takut, seram, gentar, runsing, cemas, bimbang, risau, gelisah, khuatir dan pelbagai emosi lain. Perasaan cemas dan bimbang ini akan terus berlaku apabila seseorang itu merasa khuatir akan kebolehan dan kepakarannya. Seseorang itu merasa ragu-ragu sama ada ia boleh atau mungkin ia tidak berupaya melakukan tugasan dengan baik.
Menurut Mahoney dan Meyers, 1989 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2003) pula, kebimbangan adalah pengalaman dan dilaporkan berlaku kepada semua atlit tanpa mengira usia dan tahap kemahiran. Pengalaman dan kemahiran atlit dilaporkan dari sikap yang berbeza dan banyak menghala kepada bagaimana pengalaman mereka menghadapi kebimbangan. Kesungguhan dan kesan kepada prestasi kebimbangan kemungkinan berkaitan kepada tafsiran seseorang individu.
Scanlan, T.K., Stein, G.L. dan Ravizza, K., 1991 (dalam buku Mohd Sofian Omar Fauzee, 2003) menyatakan bahawa tekanan dari pertandingan boleh didefinisikan sebagai emosi negatif, perasaan dan pemikiran yang mungkin memberikan pengalaman kepada atlit tentang perasaan tidak yakin pada diri sendiri, bimbang, otot terasa tertekan, takut, reaksi fizikal, hanya memikirkan kebimbangan dan perkara-perkara negatif. Kebimbangan boleh ditakrifkan sebagai kesan kognitif atau emosi yang terhasil dari persepsi terhadap situasi yang dihadapi, yang dilahirkan dalam bentuk ancaman yang bakal diterima oleh seseorang individu seperti kekalahan, ugutan fizikal, rasa malu dan sebagainya.
Conger (1973) menakrifkan kebimbangan sebagai satu penentuan yang amat penting di dalam mengkaji tingkah laku manusia. Beliau juga menyatakan bahawa kebimbangan yang wujud dalam diri seseorang itu adalah hasil daripada pengalaman kesakitan masa lampau, contohnya sakit yang dirasai semasa kanak-kanak akan mewujudkan perasaan bimbang apabila mereka dewasa kelak. Dollard dan Miller (1950) pula menyatakan kebimbangan berlaku disebabkan kanak-kanak mempunyai pelbagai perasaan kecewa.
Teori-Teori Kebimbangan (Psikoanalitik)
Menurut Freud (1977) apabila tenaga libido dipendamkan, ia bertukar menjadi kebimbangan dan akan muncul sebagai kebimbangan bebas atau sebagai satu simptom kebimbangan. Misalnya kanak-kanak menjadi bimbang apabila ibunya tidak ada bersamanya kerana kanak-kanak itu tidak dapat menyalurkan libido (perasaan) kepada ibunya dan libido itu wujud sebagai satu kebimbangan. Jika kebimbangan objektif adalah tindak balas dari ancaman luar, maka kebimbangan neurotik adalah pelarian daripada desakan libido itu sendiri (Azizi et. al, 2006). Menurutnya lagi pengalaman kebimbangan neurotik membuatkan ego yang berperanan memproses ancaman ini akan cuba lari daripada desakan libido ini, dan menjadikan ancaman dalaman ini sebagai yang datang dari luar, dan dengan sendirinya tidak melibatkan ego untuk berbuat sesuatu.
Teori kebimbangan yang berpusatkan kepada peranan libido, tidak dapat menghuraikan kebimbangan jenis fobia (Azizi et. al, 2006). Freud (1977) mendapati bagi jenis-jenis kebimbangan yang lain, ego lebih berperanan jika dibandingkan dengan id yang bertukar menjadi libido. Ego mengamati bahaya dan dengan sendirinya akan meninggalkan kesan kebimbangan. Azizi et. al (2006) mengulas lagi, ini bererti, bukan pemendaman libido yang menjadi punca kebimbangan tetapi kebimbangan telah wujud sedia ada apabila telah diamati oleh ego tadi dan ini bermakna kebimbangan adalah punca pemendaman.
Freud (1977) menjelaskan, fenomena kebimbangan adalah ciri semula jadi suatu organisma itu. Ia adalah sebahagian daripada naluri semula jadi untuk keselamatan kendiri dan diwarisi secara genetik. Kebimbangan objektif dialami secara semula jadi tetapi kebimbangan yang spesifik adalah dipelajari. Beliau menyatakan kebimbangan adalah punca daripada renjatan emosi dan takutkan kembiri (fear of castration).
Hakikatnya, superego merupakan identiti sebenar individu normal kerana superego beroperasi mengikut prinsip kesempurnaan dan berfungsi menghalang kehendak-kehendak id dan menyebabkan seseorang akan merasa tidak patut apabila takutkan sesuatu yang tidak perlu ditakutkan. Oleh itu, egolah yang patut menyeimbangkan kehendak-kehendak id supaya perasaan takut itu tidak terlalu diikutkan.
Jenis Kebimbangan
Menurut Wann (1997) kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi pencapaian atlet dalam sukan. Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan atlet maka perlu dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika.
Berdasarkan kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan kebanyakan masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan sedikit sahaja yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret.
Manakala kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada waktu itu (Shaharudin 2001). Terdapat dua jenis kebimbangan seketika iaitu kebimbangan kognitif seketika dan kebimbangan somatik seketika.
Kebimbangan kognitif seketika merupakan komponen mental kebimbangan seketika yang merujuk kepada proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa seperti perasan risau, takut, kecewa, gementar dan lain-lain.
Manakala kebimbangan somatik seketika merujuk kepada aspek fisiologikal dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dari dalam individu tersebut yang menyebabkan peningkatan denyutan jantung, kadar nadi, peredaran darah, perpeluhan, pernafasan, kerap buang air kecil dan lain-lain. Bagi individu yang dikategorikan sebagai A-trait, sekiranya beliau mentafsirkan bahawa tekanan yang wujud dipersekitarannya cukup menekan, maka individu tersebut akan bertindak atau memberikan respons yang akan meningkatkan lagi tahap kebimbangan serta kebangkitan fisiologikalnya. Kebimbangan itu dimanifestasikan oleh rasa tertekan , takut, peningkatan kadar nadi serta tangan atau badan mengeletar. Kesannya individu tersebut rasa semakin tertekan dan takut serta aksinya pula tidak menentu.
Terdapat hubungan di antara kebimbangan tret dan kebimbangan seketika yang dijelaskan oleh Marten et al. di dalam Wann (1997) mengenai Teori Kebimbangan Seketika. Teori ini menjelaskan mengenai respons objektif dan jangkaan situasi yang akan dihadapi. Di mana ianya merangkumi persepsi jangkaan yang tidak pasti dan keutamaan hasil. Seperti yang telah dibincangkan di atas, perasaan bimbang berupaya meningkatkan situasi yang tidak menentu contohnya semakin penting sesuatu pertandingan maka semakin meningkat perasaan bimbang.
Punca kebimbangan dalam sukan
Berdasar kepada Marchant, Morris, Anderson (1998) di dalam Journal of Sport Behavior punca-punca kebimbangan seketika di kalangan atlit ialah:
Takut kepada kegagalan (Gould, Horn & Spreeman, 1983: Kroll, 1979; Passer, 1983; Reiney & Cunningham, 1988; Scanlan & Lethwaite 1984).
Perasaan ego atau takut dinilai (Fisher & Zwart, 1982; Gould & Weinberg, 1985; Pierce & Stretton, 1981; Rainey & Cunningham),
Tahap kemahiran pemain (Heckhausen, 1990; Hembree,1988; Kroll, 1979),
Kurangnya persediaan fizikal (Cohn, 1990. Jones, Swain & Cale, 1990)
Hilang kawalan (Kroll, 1979), pencapaian lepas (Jones, Swain & Cale, 1990; Martens & Gill 1976; Scanlan, 1978)
Gangguan luaran dan konsentrasi (Krane, Joyce & Rafeld, 1994),
Umur (Hammermeister & Burton, 1995),
Cara mengatasi ialah
Pengalaman bertanding dalam sukan (Fenz & Jones, 1972; Gould, Petlichkoff & Weinberg 1984),
Fasilitasi sosial (Cohn, 1990; Flood & Endler, 1980)
Pre-disposition (A trait) (Cooley, 1987; Martens, Vealey & Burton, 1990; Poteet & Weinberg 1980; Scanlan & Passer 1979; Weinberg & Genuchi, 1980; Williams &Krane 1992),
Ancaman yang dijangka (Lox, 1992; Martens et al., 1990),
Keutamaan hasil /perceived important (Lox, 1992; Martens et al., 1990),
Pencapaian semasa (Highlen & Bennet, 1979; McAuley, 1985),
Matlamat pertandingan ( contoh tahap kesukaran tugasan) (Jones, Swain, & Cale, 1990),
Tahap pertandingan (Dowthaite & Amstrong, 1984; Gruber & Beuchamp, 1979),
Penyebab
Situasi kritikal semasa bertanding.
Bertanding dalam situasi yang serba kekurangan ( Cohn, 1990; Marchant, 1992),
Persekitaran ( Martens et al.,1990),
Jenis sukan (sukan kontak, sukan bukan kontak, individu, berkumpulan, skor objektif, skor subjektif) (Krane & Williams, 1987; Simons & Martens, 1979),
Tekanan ibu bapa (Pierce & Stratton, 1981)
Stres dalam kehidupan seharian (Scanlan, Stein & Ravizza, 1988) serta jantina (Krane dan Williams, 1994).
Penutup
Beberapa kajian yang telah dijalankan sebelum ini telah menunjukkan permasalahan kebimbangan banyak memberikan kesan yang negatif kepada individu. Antaranya adalah dengan tahap kebimbangan yang tinggi akan menurunkan pencapaian, mengubah perangai dan sikap. Permasalahan ini amat berat jika difikirkan kerana ia akan memberikan kesan berat kepada pencapaian individu itu dan yang lebih berat lagi akan menjejaskan peluang untuk berjaya.
Kebimbangan adalah pengalaman dan dilaporkan berlaku kepada semua atlit tanpa mengira usia dan tahap kemahiran. Pengalaman dan kemahiran atlit dilaporkan dari sikap yang berbeza dan banyak menghala kepada bagaimana pengalaman mereka menghadapi kebimbangan. Kesungguhan dan kesan kepada prestasi kebimbangan kemungkinan berkaitan kepada tafsiran seseorang individu.
Natijahnya kebimbangan boleh ditakrifkan sebagai kesan kognitif atau emosi yang terhasil dari persepsi terhadap situasi yang dihadapi, yang dilahirkan dalam bentuk ancaman yang bakal diterima oleh seseorang individu seperti kekalahan, ugutan fizikal, rasa malu dan sebagainya.
SOAL-SELIDIK
Definisi
Soal-selidik adalah merupakan satu instrument atau alat yang digunakan untuk mengumpul maklumat dan data yang diperlukan oleh seorang penyelidik dalam mendapatkan maklumat dan mencari data daripada tinjauan yang dilakukan. Teknik penyoalannya perlulah selaras dengan kehendak atau keperluan penyelidik. Penyoalan yang tidak tepat akan menyababkan maklumat atau data yang menjadi tidak tepat.
Tujuan
Soal-selidik adalah bertujuan untuk :
Mengenalpasti punca dan penyebab
Untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan
Menilai pencapaian tujuan penyelidikan
Dapat mengukur pembolehubah yang dijadikan kajian
Membolehkan pemprosesan data lebih tepat
Jenis Soal-selidik :
STAI (State Trait Anxiety Inventory)
Soal selidik yang khas untuk mengukur tahap kebimbangan tret atlit sukan. Dalam soal selidik ini mempunyai 20 soalan yang telah ditetapkan. Tahap kebimbangan ditentukan mengikut jumlah skor yang diperolehi.
SCAT (Sport Competition Anxiety Test)
Soal selidik yang khas untuk mengukur tahap kebimbangan stet atlit sukan. Dalam soal selidik ini mempunyai 15 soalan yang telah ditetapkan. Tahap kebimbangan ditentukan mengikut jumlah skor yang diperolehi.
CSAI-2 (Competitive State Anxiety Inventory-2)
Soal selidik yang khas untuk mengukur tahap kebimbangan kognitif, kebimbangan somatik dan keyakinan diri atlit sukan. Dalam soal selidik ini mempunyai 3 bahagian dan setiap bahaian mempunyai 9 item. Instrumen kajian menggunakan soal selidik ‘Competitive State AnxietyInventory – CSAI 2’ (Martens et al., 1990) yang terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Bahagian A hingga C. Bahagian A mengandungi item-item maklumat diri responden. Manakala, bahagian B mengandungi item-item yang berkaitan kebimbangan dan keyakinan diri. Soal selidik ini mengandungi 27 item yang meliputi 3 dimensi iaitu kebimbangan kognitif, kebimbangan somatik dan keyakinan diri
TEOSQ
Mengandungi 13 item iaitu enam item mewakili orientasi ego dan tujuh lagi mewakili orientasi tugasan dalam kontek sukan.
Soal Selidik SCAT (Sport Anxiety Test)
Soalan berbentuk psikologikal, bagi mencari perbezaan pada individu Instrument-instrument kajian dan kemudahan berikut digunakan untuk membantu penyelidik dalam proses pengumpulan data.
Social Physique Anxiety.
Social Physique Anxiety Scale (SPAS; Hart, Leary & Rejeski, 1989) mengandungi 12-item iaitu self report inventory untuksocial physique anxiety dengan menggunakan lima skala Likert iaitu daripada 1 hingga 5
CSAI-2C
Soalan ini adalah untuk mengkaji tahap kebimbangan kognitif dan somantik pada kanak-kanak menjelang pertandingan
Kriteria Soal-selidik
Soal-selidik yang mencapai matlamat dan tujuan kajian
Mendapat maklumat yang dikehendaki dengan tepat
Soal-selidik yang tidak membebankan
Soal-selidik yang menjimatkan
Penyoalan yang mudah dan senamg difahami
Jumlah soal-selidik yang bersesuaian
Soalan yang tidak menjurus kepada jawapan
Bersesuaian dengan statistik yang akan digunakan semasa pemprosesan data
No comments:
Post a Comment