Subscribe:

Pages

Tuesday 12 March 2013

TESIS KEBIMBANGAN ATLET KOLEJ MATRIKULASI


BAB 1

PENDAHULUAN

  1. Pengenalan

Kebimbangan dan prestasi dalam sukan merupakan antara topik yang diminati di kalangan ahli sukan sejak beberapa tahun dahulu (Duda, 1998). Kebimbangan sentiasa menyelubungi diri atlet sebelum, semasa dan selepas sesuatu pertandingan (Mohd Sofian Omar Fauzee, 2003). Kenyataan ini disokong oleh Klaffs dan Arnheim (1981), yang menyatakan bahawa sesuatu pertandingan sememangnya akan menyebabkan gangguan emosi; atlet merasa tertekan dan bimbang sebelum pertandingan, seterusnya menghalang pencapaian dan menjatuhkan prestasi atlet. Kebimbangan adalah keadaan emosi negatif ditandai dengan kegugupan, kecemasan dan ketakutan dan berkaitan dengan pengaktifan atau kebangkitan tubuh badan (Weinberg dan Gould, 2007).

Kajian-kajian terdahulu menunjukkan bahawa faktor mental (kebimbangan) dan motivasi boleh menyebabkan seseorang atlet berada pada tahap terbaik (peak) semasa pertandingan dan pada masa yang sama juga boleh menjadi penyebab kegagalan mereka (Duda, 1998). Kebanyakan ahli psikologi sukan seperti Arent dan Landers (2003); Weinberg dan Gould (2007), menyatakan bahawa tahap kebimbangan yang optima dapat membantu atlet mencapai prestasi yang memberangsangkan, manakala tahap kebimbangan yang terlalu tinggi dan terlalu rendah membawa masalah dalam mencapai prestasi yang baik. Wann (1997) pula berpendapat bahawa kebimbangan sebagai satu keadaan negatif yang memberi kesan penentu kepada pencapaian prestasi atlet. Menurut Mahoney, Gabriel dan Perkins (1987), sesetengah kebimbangan adalah baik serta membantu prestasi, malah ada atlet mengharapkan adanya kebimbangan bagi membolehkan mereka bertanding dengan jayanya. Selain menjejaskan prestasi, kebimbangan juga menyebabkan seseorang hilang minat untuk menyertai pertandingan. Menurut Gould, dan Tuffey, (1996), sesetengah kanak-kanak tidak mahu terlibat dalam pertandingan kerana mereka menganggap pertandingan dalam sukan merupakan sesuatu yang menakutkan lebih daripada sesuatu yang menyeronokkan dan sukan merupakan sesuatu yang mencabar. Selain daripada itu, pelatih dan pengamal perubatan sukan juga telah membuat pemerhatian terhadap sesuatu pertandingan. Mereka mendapati kebimbangan yang wujud dalam situasi-situasi pertandingan, mudah mendatangkan kecederaan berbanding mereka yang tidak mempunyai kebimbangan (Weinberg dan Gould , 2007).

Keupayaan seseorang atlet untuk mengatasi tekanan (stress) dan kebimbangan merupakan perkara penting dalam pertandingan sukan kerana kedua-dua faktor tersebut dipercayai mempengaruhi prestasi. Oleh yang demikian matlamat utama para ahli psikologi sukan ialah menghasilkan program mental yang berkesan untuk atlet supaya dapat memaksimumkan prestasi. Matlamat ini mungkin tidak dapat dicapai sekiranya tiada pengetahuan asas mengenai teori-teori kebimbangan dan situasi atau keadaan kebimbangan yang boleh mempengaruhi prestasi. Pengetahuan teori dan situasi kebimbangan dalam sukan penting dalam usaha menghasilkan kajian yang dapat memberi makna agar boleh diaplikasi secara praktikal. Model yang digunakan dalam kajian ini sebagai rujukan utama bagi menjelaskan perkaitan antara kebimbangan dan prestasi ialah Model ‘Multidimensional’ (Marten, Burton, Vealey, Bump, dan Smith, (1990). Model ini menerangkan bahawa kebimbangan terdapat dalam bentuk kebimbangan somatik (dapat dilihat melalui komponen fizikal seseorang seperti berpeluh, degupan jantung) dan kebimbangan kognitif (merupakan komponen mental seperti takut untuk gagal, hilang estim kendiri). Kedua-dua bentuk kebimbangan ini mempunyai hubungkait dengan kebimbangan stet (dipengaruhi oleh emosi yang dapat dilihat seperti takut, stres dan peningkatan tahap fisologi) dan kebimbangan tret (dipengaruhi oleh personaliti).

Kebimbangan merupakan satu keadaan negatif yang dialami oleh manusia dan merupakan gabungan antara perasaan takut, seram, gentar, runsing, cemas, bimbang, risau, gelisah, khuatir dan pelbagai emosi lain (Mohd. Sofian Omar Fauzee, 2002). Perasaan ini akan terus berlaku bila seseorang itu merasa khuatir akan kebolehan dan kepakarannya. Seseorang jurulatih tidak kira di peringkat mana sekalipun harus mengetahui dan mengambil berat tentang faktor psikologi atlit mereka. Biasanya atlit tidak hanya dilengkapi dengan persediaan fizikal tetapi harus juga seimbang dengan persediaan mental.

Wann (1997) mendefinisikan kebimbangan sebagai interpretasi negatif yang dibuat terhadap bentuk tekanan atau bebanan yang terdapat di persekitaran sama ada yang telah, sedang dan yang akan dihadapi oleh seseorang individu. Kebimbangan merujuk kepada tafsiran kognitif yang dibuat oleh individu tersebut terhadap apa yang terdapat dipersekitarannya. Sekiranya tafsiran tersebut mendatangkan sesuatu yang negatif maka ia merupakan kebimbangan.

Pertandingan dalam sukan mempunyai pelbagai peringkat atau tahap seperti peringkat sekolah/ bahagian, daerah, negeri, kebangsaan dan antara bangsa. Pada kebiasaannya, semakin tinggi peringkat pertandingan itu maka semakin meningkatlah tahap kebimbangan yang dirasai oleh atlet tersebut.
Martens (1997), mengatakan kehebatan pertandingan pada setiap peringkat akan menyebabkan pelbagai aras kebimbangan pada diri atlet. Maka terdapat di kalangan atlet yang bertindakbalas secara keterlaluan lalu mencapai tahap kebimbangan yang melampau dan tidak terkawal. Keadaan ini menjejaskan kebolehan atlet tersebut untuk mencapai prerstasi pada paras yang optimum. Kebimbangan pertandingan boleh dilihat daripada dua aspek iaitu tret dan state. Kebimbangan tret ditumpukan kepada ciri-ciri perbezaan personaliti yang agak stabil di kalangan manusia. Manakala kebimbangan state diberi pengertian sebagai suatu keadaan emosi organisma manusia yang sementara, dilahirkan oleh persepsi perasaan yang subjektif dan disedari terhadap ketegangan dan ketakutan serta peningkatan pada sistem saraf autonomik (Spielberger, 1966; Weinberg dan Gould, 2007)
Cratty (1973), menjelaskan kebimbangan tret adalah kecenderungan seseorang terhadap perasaan takut dalam kebanyakan situasi. Martens (1977) pula mendefinisikan kebimbangan tret sebagai satu kecenderungan untuk melihat sesuatu situasi pertandingan dengan perasaan takut. Ini bermakna individu yang tinggi kebimbangan tret pertandingannya akan melihat situasi pertandingan dengan lebih mengancam dan perbezaan ini akan mencerminkan reaksi kebimbangan state yang tinggi.
Spielberger (1966), menyatakan bahawa kebimbangan adalah satu keadaan emosi yang wujud dan dicirikan oleh kefahaman dan ketegangan atau pengaruh untuk menganggap sesuatu situasi itu sebagai mengancam dan bertindakbalas terhadap rangsangan atau situasi pada tahap kebimbangan yang berlainan. Manakala Walker (1975), mendefinisikan kebimbangan sebagai reaksi individu terhadap situasi yang dianggap akan menggugat kesejahteraan. Fossum (1990), mentakrifkan kebimbangan sebagai jumlah keseluruhan tindak balas psikobiologikal terhadap situasi yang dianggap tidak kebal dan terdedah kepada bahaya serta ancaman.
Terdapat beberapa simptom yang ditunjukkan oleh atlet yang boleh dikategorikan dalam ketegangan atau kebimbangan ketika menyertai sesuatu pertandingan. Kaplan (1989), mendapati apabila seseorang atlet itu berasa bimbang, sistem saraf autonomik akan diaktifkan dan ini akan menyebabkan atlet berpeluh secara berlebihan terutamanya di tapak tangan dan bahagian-bahagian lain, kerap membuang air kecil, perut rasa tidak selesa, di samping jantung berdenyut lebih hebat dan terdapat peningkatan pada kadar nadi.
Suasana ini menunjukkan perlunya untuk mengkaji sebab-sebab mengapa keadaan sedemikian wujud dan telah menarik minat penyelidik untuk membuat tinjauan terhadap tahap kebimbangan atlet Kolej Matrikulasi Selangor sebelum pertandingan di kejohanan Karnival Sukan Kolej Matrikulasi Selangor dan seterusnya dapat membantu para atlet agar dapat menunjukkan prestasi sebenar mereka. Oleh hal yang sedemikian, hasil kajian yang diperolehi ini nanti amat penting dan berguna kepada jurulatih dan pegawai sukan Kolej Matrikulasi Selangor agar mereka dapat menyediakan program latihan untuk sesi yang akan datang dengan mengambil kira perbezaan pengalaman, memperkenalkan beberapa jenis latihan khusus untuk mengatasi masalah kebimbangan, misalnya latihan mental, meneliti kembali apakah faktor-faktor yang menyebabkan tahap kebimbangan atlet begitu tinggi dan merancang cara-cara untuk mengatasinya; berusaha untuk meningkatkan mutu latihan dari segi teknikal dan taktikal sambil menyelitkan unsur-unsur sains sukan dengan menghadiri kursus dalam lapangan yang berkenaan atau melantik jurulatih yang berwibawa dalam bidang yang berkenaan.

1.2. Kerangka Konsep
Atlet Karnival Sukan Kolej Matrikulasi Selangor
Futsal (14) Badminton(10) Ping pong (11) Bolajaring(7)



Kebimbangan



Faktor-faktor kebimbangan , Tahap Kebimbangan (SCAT) , Kaedah mengurangkan kebimbangan










    1. Pernyataan Masalah

Semasa latihan, atlet akan melalui pelbagai jenis serta bentuk latihan fizikal untuk memantapkan lagi kemahiran dan secara tidak langsung ia turut menambahkan lagi keyakinan serta semangat dalam diri pemain. Tetapi adakah tahap psikologi pemain akan kekal seperti mana mereka dalam sesi latihan setelah mereka berada di gelanggang perlawanan?. Atlet mula akan bermain dengan perasaan, apatah lagi apabila penampilan fizikal pihak lawan kelihatan lebih gagah sedangkan perlawanan belum bermula. Atlet akan mula rasa cemas, gelisah dan berdebar-debar ditambah lagi dengan sorakan penyokong-penyokong yang akan membuat atlet lebih rasa tertekan. Pengurus pasukan boling padang negara, Jamal Abdul Nasir Bakar mengakui kecewa dengan kegagalan Siti Zalina, yang bukan sahaja gagal mempertahankan pingat emas, tetapi gagal dalam penentuan pingat gangsa. Begitu pun dia tak menyalahkan Siti Zalina, yang mungkin tertekan kerana mengalas harapan tinggi, sebagai pemain terakhir untuk memenangi pingat emas (Utusan Malaysia, 14 Oktober 2010.)

Kesimpulannya, tahap kebimbangan akan menjadi semakin tinggi dan prestasi pemain tidak akan menjadi seperti yang diharapkan. Namun, ini juga turut bergantung pada atlet itu sendiri, samada ia akan menjadikan semua pengaruh di persekitarannya positif pada persembahan prestasinya atau ia akan menjadi sebaliknya jika atlet itu tidak mampu menerima gangguan persekitarannya dan menganggap ia adalah satu tekanan dan bebanan yang akan membuat ‘goal setting’ terkeluar dari sasaran sebenar.
Masalah kebimbangan semasa menghadapi pertandingan ataupun kejohanan sukan sering mengganggu perasaan pemain negeri. Kebanyakan jurulatih yang berperanan sebagai pembimbing kepada atlet remaja mendapati atlet di peringkat sekolah menghadapi masalah tidak merasa yakin sewaktu pertandingan. Atlet remaja negeri tidak dapat menggunakan kemahiran yang telah dilatih semasa berada di gelangang. Kenyataan ini disokong oleh Mahmood Nazar Mohamed (2005) yang menyatakan bahawa seseorang individu yang mengalami kebimbangan hanya berasa bingung, runsing dan bimbang tanpa sebab yang jelas. Secara kesimpulannya, perasaan bimbang merupakan suatu situasi yang boleh menyebabkan seseorang itu berasa takut dan gementar seterusnya boleh menganggu prestasi atlet . Atlet biasanya ingin berada pada tahap kebangkitan yang rendah untuk mengelakkan kebimbangan.

Oleh yang demikian, seorang jurulatih sama ada di peringkat sekolah, daerah atau kebangsaan, harus mengenali personaliti atlet mereka bagi memudahkan mereka menangani sebarang masalah yang berhubung dengan prestasi. Seterusnya Teori Pembalikan Martens memperlihatkan bagaimana atlet dapat menghasilkan prestasi cemerlang apabila mereka mempunyai kedua-dua bentuk tenaga iaitu tenaga positif dan negatif. Prestasi akan menurun jika kedua-dua bentuk tenaga ini menurun. Kekuatan yang terdapat dalam teori ini ialah dapat meningkatkan potensi atlet dan memahami perkaitan antara prestasi dan kebimbangan. Selain daripada itu teori tersebut juga dapat membantu atlet membuat interpretasi sendiri tentang tahap kebimbangan.
Manakala, atlet Kolej Matrikulasi Selangor telah menunjukkan tahap kebimbangan yang boleh menjejaskan prestasi mereka setiap kali ke pertandingan peringkat kebangsaan (KAKOM). Kajian saya ingin mengkaji tentang cara mengurangkan kebimbangan , mengkaji tahap kebimbangan dan mengkaji faktor-faktor kebimbangan dalam kalangan atlit Kolej Matrikulasi Selangor.


    1. Kepentingan Kajian

Kajian ini merupakan satu tinjauan perbandingan mengenai tahap kebimbangan atlet Kolej Matrikulasi Selangor di kejohana kebangsaan . Hasil kajian ini diharapkan akan dapat dijadikan panduan kepada jurulatih untuk mengenalpasti dan mengetahui tahap kebimbangan atlet mereka. Maklumat yang diperolehi ini amat berguna kepada jurulatih dalam merancang program yang lebih efisyen dan sesuai dari segi psikologi atlet untuk mempertingkatkan prestasi mereka. Di samping itu, hasil kajian ini diharapkan akan memberi kesedaran kepada para jurulatih dan pegawai pasukan tentang kaedah latihan yang sesuai dan efektif serta kepentingan memberi perhatian secara individu kepada setiap atlet demi untuk kejayaan pasukan, kepuasan diri dan kecemerlangan sukan.

    1. Objektif Kajian

  1. Mengenalpasti tahap kebimbangan atlet KMS sebelum pertandingan peringkat kebangsaan.

  1. Mengkaji perbezaan tahap kebimbangan di antara atlet lelaki dan atlet wanita

  1. Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kebimbangan atlet KMS.

  1. Mengenalpasti kaedah-kaedah yang sering digunakan untuk mengurangkan tahap kebimbangan sebelum memulakan pertandingan bagi atlet KMS.
    1. Persoalan Kajian

Berdasarkan tujuan di atas, kajian ini cuba mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan berikut:
  1. Apakah tahap kebimbangan pertandingan atlet KMS sebelum pertandingan peringkat kebangsaan?

  1. Adakah terdapat perbezaan tahap kebimbangan yang signifikan di antara atlet lelaki dan atlet wanita?

  1. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kebimbangan atlet KMS?

  1. Apakah kaedah-kaedah yang sering digunakan untuk mengurangkan tahap kebimbangan sebelum memulakan pertandingan bagi atlet KMS?

    1. Batasan kajian

Dalam kajian ini terdapat beberapa halangan yang tidak dapat dijangkan oleh penyelidik. Di antaranya adalah:

1.7.1. Delimitasi


Kajian ini terbatas kepada 68 atlet yang menyertai kejohanan karnival sukan Kolej Matrikulasi Selangor sahaja yang berumur antara 17 dan 18 tahun.
Kajian ini hanya memberi penekanan kepada beberapa faktor kebimbangan sahaja. Kajian ini tidak memberi tumpuan kepada faktor-faktor lain seperti taraf sosioekonomi keluarga, orientasi belajar dan sebagainya yang turut memberi kesan yang positif terhadap kebimbangan atlit.
Segala penganalisaan data dan perbincangan dilakukan berpandukan kepada soal selidik kajian yang diubahsuaikan berdasarkan kepada soal selidik SCAT oleh Martens (1977), serta subjek yang telah ditetapkan dan ianya tidak boleh digeneralisasikan.

1.7.2 Limitasi


Kajian ini terbatas kepada beberapa limitasi berikut:

  1. Faktor kejujuran dan keikhlasan responden ketika menjawab soal selidik adalah di luar kawalan penyelidik.
  2. Walaupun arahan yang jelas telah dinyatakan dalam soal selidik, masa responden menjawab soal selidik dan prosedur mengumpul data mungkin mempengaruhi hasil kajian.

    1. Definisi Operasional


Dalam konteks kajian ini, terminologi berikut beroperasi sebagai:

Kebimbangan

Walker (1975), mendefinisikan kebimbangan sebagai reaksi individu terhadap situasi yang dianggap akan menggugat kesejahteraan. Fossum (1990) pula mentakrifkan kebimbangan sebagai jumlah keseluruhan tindakbalas psikobiologikal terhadap situasi yang dianggap tidak kebal dan terdedah kepada bahaya dan ancaman.

Kebimbangan State Pertandingan


Kebimbangan pertandingan diberi pengertian sebagai suatu keadaan emosi organisma manusia yang sementara, dilahirkan oleh persepsi perasaan yang subjektif dan disedari terhadap ketegangan dan ketakutan serta peningkatan pada saraf autonomik (Spielberger, 1966).

SCAT
SCAT atau “Sport Competition Anxiety Test” direkabentuk oleh Martens (1977) adalah satu ujian khas untuk mengukur tahap kebimbangan sukan dalam situasi pertandingan.

Kejohanan Karnival Kolej Matrikulasi Selangor


Karnival Sukan Kolej Matrikulasi Selangor pada 27 hingga 31 Oktober 2010 yang berlangsung di Kolej Matrikulasi Selangor, Banting. Kejohanan ini anjuran unit Kokurikulum Kolej Matrikulasi Selangor bagi persediaan mengenal pasti atlet-atlet yang berbakat untuk diserapkan ke dalam pasukan Kolej Matrikulasi Selangor.

Atlet

Individu lelaki dan perempuan yang menyertai acara futsal, badminton, ping pong, dan bola jaring yang berumur 17.














BAB II

Tinjauan Literatur

2.1. Pengenalan

Bab ini mengandungi beberapa huraian dan kajian lampau yang berkaitan dengan kebimbangan. Kajian penulisan berkaitan dengan kebimbangan di bincang mengikut topik-topik seperti berikut:
  1. Definisi kebimbangan
  2. Kebimbangan tret dan state
  3. Alat pengukuran terhadap kebimbangan
  4. Kebolehpercayaan yang berkaitan dengan penyelidikan
  5. Teori yang berkaitan dengan kebimbangan
  6. Kebimbangan di peringkat pra pertandingan
  7. Faktor-faktor yang menyebabkan kebimbangan
  8. Kaedah-kaedah untuk mengurangkan kebimbangan pertandingan

2.2. Definisi Kebimbangan


Pelbagai tafsiran telah diberikan oleh ahli-ahli psikologi dan pakar-pakar dalam bidang sukan tentang istilah kebimbangan. Walaupun pelbagai interpretasi telah dikemukakan, namun tidak tedapat banyak perbezaan dari segi maksudnya.

Kebimbangan adalah antara aspek mental yang perlu diberi perhatian bagi memahami tingkahlaku individu dalam meningkatkan prestasi mereka (Tajul Ariffin, Ruslin Amin dan Zamri Mohamad, 2004). Kebimbangan dilihat sebagai suatu keadaan negatif yang boleh memberi kesan kepada prestasi atlet (Weinberg dan Gould, 2007). Menurut Wann (1997), kebimbangan akan wujud bila individu mula meragui kemampuannya dalam mengawal situasi yang menyebabkannya merasa tertekan.. Kebimbangan boleh menjadi suatu fenomena asas dan masalah sebenarnya ialah keadaan (situasi). Vasudevan (1989), mendefinisikan kebimbangan sebagai suatu keadaan di mana wujud perasaan takut atau gementar pada orang yang menpunyai pertalian dengan diri kita. Kebimbangan dalam sukan berpunca daripada pelbagai sumber seperti manusia lain, tugasan dan persekitaran dan ia bukan sahaja dialami oleh atlet tetapi juga oleh jurulatih, ibu bapa, penonton dan orang ramai.
Cox (2002) mendefinisikan kebimbangan sebagai pengertian perasaan yang subjektif dan peringkat ‘arousal’ secara mendadak. Atlet yang mengalami perasaan kebimbangan sebelum dan semasa pertandingan mungkin akan mengalami peningkatan tahap ‘arousal’ dan merasa ketegangan pada tubuh. Sementara itu, Endler (1978), menyatakan terdapat lima aspek yang boleh dikaitkan dengan kebimbangan. Antaranya:
  1. Layanan terhadap ego di dalam diri sendiri. (terutamanya untuk menghadapi kekecewaan).
  2. Kebahagiaan boleh membahayakan fizikal.
  3. Kekaburan (di luar jangkaan dan ketakutan yang tidak diketahui sumbernya).
  4. Gangguan terhadap aktiviti harian.
  5. Pemikiran sosial (bimbang dinilai secara negatif oleh orang lain).

Bagi atlet yang pernah mengalami perasaan kebimbangann, ianya mungkin wujud disebabkan oleh satu atau lebih faktor-faktor yang dinyatakan di atas. Contohnya, seorang pemain ‘baseball’ mungkin merasa bimbang jika di ‘strike out’, terkena bola, tidak pasti akan diturunkan sebagai pemain permulaan, terpaksa bermain di posisi yang lain atau sedang dinilai prestasinya oleh rakan sepasukan. Sebahagian atau kesemua perkara yang dinyatakan mungkin mengundang ke arah menyebabkan kebimbangan ke atas diri atlet tersebut.



2.3. Kebimbangan Tret dan State


Speilberger (1966), telah mengembangkan pengertian kebimbangan dengan memperkenalkan ciri-ciri personaliti yang agak stabil sebagai kebimbangan tret dan perasaan yang berubah-ubah dengan kadar segera sebagai kebimbangan state. Beliau seterusnya mengklafikasikan dengan lebih lanjut kebimbangan tret sebagai kecenderungan untuk menjadi bimbang dalam situasi yang menekan, manakala kebimbangan state disifatkan sebagai perasaan sebenar yang dialami dan rasa ketegangan pada keadaan-keadaan yang tertentu. Individu yang cenderung kepada kebimbangan adalah individu yang mempunyai kebimbangan tret yang tinggi. Individu yang tergolong dalam kategori ini akan lebih kerap mengalami kebimbangan state daripada individu yang mempunyai kebimbangan tret yang rendah, akan tetapi tidak semestinya mengalami kebimbangan state pada paras yang amat tinggi.

Carron (1975), mendefinisikan kebimbangan tret sebagai gerak balas personaliti yang diperolehi melalui pengalaman. Perbezaan dalam kebimbangan tret dikaitkan dengan perbezaan individu menginterpretasikan sesuatu terhadap situasi pertandingan yang disertai dengan perasaan terancam.


2.4. Alat Pengukuran Terhadap Kebimbangan


Terdapat beberapa jenis alat pengukuran yang telah direkabentuk dan diubahsuai untuk mengukur tahap kebimbangan seseorang. Antaranya adalah alat pengukur yang dipanggil ‘Manifest Anxiety Scale’ (MAS). Alat ini direka oleh Cox, (1995) dan merupakan alat pengukur terhadap kebimbangan yang pertama digunakan secara meluas. MAS terdiri daripada beberapa inventori yang diambil daripada 550 perkara dalam ‘Minnesota Multiphasic Personality Inventory’, iaitu sejenis alat pengukur yang sering digunakan untuk mengenalpasti kecenderungan ‘psychopathological’. Secara umumnya, atlet yang mendapat skor MAS yang terlalu tinggi dilaporkan menunjukkan penurunan dalam prestasi jika dibandingkan dengan atlet atau individu yang mendapat skor MAS yang rendah.

Di samping itu, terdapat sejenis alat yang dipanggil ‘State-Trait Anxiety Inventory’ (STAI) yang telah direkabentuk oleh Speilberger pada tahun 1970. Alat ini digunakan untuk mengukur tahap kebimbangan tret dan state. Terdapat dua jenis STAI iaitu STAI Borang X-1 dan STAI Borang X-2. STAI Borang X-1 digunakan mengukur tahap kebimbangan state dan mempunyai kebolehpercayaan berjulat dari 0.83 hingga ke 0.92. manakala STAI Borang X-2 digunakan untuk mengukur tahap kebimbangan tret dan ia mempunyai kebolehpercayaan berjulat dari 0.86 hingga ke 0.92. Item skor STAI untuk kebimbangan tret sering digunakan sebagai alat pengukur kebimbangan kerana alat ini mempunyai kesahan yang tinggi.
Selain daripada alat pengukur yang dinyatakan di atas, alat yang digunakan dalam kajian ini ‘Sport Competition Anxiety Test’ (SCAT) juga tidak kurang hebatnya. Instrumen yang dibentuk oleh Martens (1977) adalah khas untuk mengukur tahap kebimbangan pertandingan orang dewasa .

2.5. Kebolehpercayaan Alat Pengukuran SCAT


Ramai penyelidik menggunakan SCAT dalam kajian mereka. Para penyelidik ini melaporkan bahawa SCAT mempunyai kebolehpercayaan dan kesahan yang agak tinggi (Biddle, 1995). Sebelum itu, Martens (1977), telah menjalankan kajian yang menggunakan SCAT dan beliau telah melaporkan bahawa kebolehpercayaan SCAT adalah 0.77, manakala dalam konteks Malaysia, Low Pheng Chuann (1989) pula melaporkan SCAT mempunyai kebolehpercayaan 0.81. Ini menunjukkan bahawa SCAT mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi apabila ditadbirkan ke atas atlet-atlet di Malaysia.

2.6. Teori yang berkaitan dengan kebimbangan
Terdapat beberapa teori yang berkaitan dengan kebimbangan dan prestasi atlet. Teori tersebut adalah Teori Zon Berfungsi yang Optimum Hanin (ZBO) dalam Cox (2002), Teori Pembalikan 'U' (Fazey dan Hardy, 1988) dan Teori Pembalikan Martens (Martens, 1987). Teori Zon Berfungsi yang Optimum Hanin (ZBO) diperkenalkan oleh ahli psikologi sukan Rusia, iaitu Yuri Hanin. Beliau mengandaikan bahawa tahap optimum kebimbangan berasaskan situasi adalah berbeza antara atlet yang lain. Ada yang bermula pada tahap yang paling rendah dan ada pula yang bermula pada tahap yang paling tinggi. Cox, (2002) menerangkan bahawa setiap atlet mempunyai ZBO tersendiri. ZBO atlit yang optimum akan menghasilkan prestasi yang baik. Manakala ZBO yang rendah akan menghasilkan prestasi yang buruk. Teori Pembalikan 'U' pula menjelaskan bahawa atlet yang terbabit perlu diambil kira bagi memahami perkaitan di antara prestasi dan kebimbangan. Atlet biasanya ingin berada pada tahap kebangkitan yang rendah untuk mengelakkan kebimbangan.

2.7. Kajian Lampau yang Berkaitan dengan Penyelidikan Kebimbangan

Dalam mengkaji penulisan-penulisan berkaitan dengan tahap kebimbangan di peringkat pra pertandingan, Simon dan Martens (1979) mendapati atlet yang terlibat dalam pertandingan seperti gusti dan gimnastik menunjukkan tahap kebimbangan pra pertandingan yang tinggi dan signifikan jika dibandingkan dengan atlet yang terlibat dalam permainan bola sepak, hoki dan ‘baseball’. Hasil kajian ini adalah sehaluan dengan kajian yang dijalankan oleh Martens dan rakan-rakan (1990) yang menyatakan terdapat perbezaan kebimbangan state di peringkat pra pertandingan antara atlet sukan individu dan atlet sukan berpasukan. Atlet yang terlibat dengan sukan sentuhan (contact sport) menunjukkan tahap kebimbangan yang lebih tinggi di peringkat pra pertandingan berbanding dengan sukan yang bukan berbentuk sentuhan. Pendapat Martens dan rakan-rakan disokong oleh Burton (1988) dan Landers dan Boutche (1993) yang menyatakan perbezaan posisi, acara sukan dan peranan yang kompleks dalam sesuatu permainan juga mempengaruhi tahap kebimbangan atlet di peringkat pra pertandingan. Passer, (1982) melaporkan bahawa kadar nadi dan respirartori pemain yang akan membuat ‘batting’ (menunggu giliran) dalam satu pertandingan Liga ‘Baseball’ selepas dua orang rakan sepasukannya membuat pukulan adalah pada kadar yang tinggi. Kadar denyutan nadi dan respiratori yang berlebihan sebelum sesuatu pertandingan adalah sebahagian daripada simptom atlet tersebut dalam keadaan yang tegang dan bimbang.
Manakala dari segi perbezaan jantina, Martens dan rakan-rakan (1990), melaporkan bahawa atlet wanita menunjukkan tahap kebimbangan yang tinggi dan mempunyai keyakinan diri yang rendah pada peringkat pra pertandingan jika dibandingkan dengan atlet lelaki.
Sebagai tambahan, dapatan kajian ini juga menyokong dapatan kajian Wiggins, Lai, dan Deiters, (2005), yang menyatakan bahawa atlet wanita mempunyai tahap kebimbangan pra pertandingan yang tinggi serta mempunyai keyakinan diri yang rendah jika dibandingkan dengan atlet lelaki.

Contoh kajian lampau merangkumi penyiasatan terhadap perbezaan jantina (Wiggins, 2001), kognitif kecemasan penstrukturan (Hanton dan Jones, 1999), dan kajian antara atlet dengan tahap kemahiran yang berbeza (Perry dan Williams, 1998; Wiggins,1996). Gejala kebimbangan yang dirasakan mempengaruhi seseorang untuk menafsirkan keadaan kebimbangan sebagai ancaman (Weinberg dan Gould, 2003). Hanya baru-baru ini para penyelidik dalam bidang psikologi sukan mula menyiasat hubungan antara keletihan dan persepsi kebimbangan (Wiggins, Cremades, Lai, Lee, dan Erdmann, 2006; Wiggins, Lai, dan Deiters, 2005 ).

2.8. Faktor-faktor Yang Menyebabkan Kebimbangan

Passer dan Michael (1982), berpendapat pertandingan itu sendiri yang menyebabkan kebimbangan, terutamanya kepada sebilangan kecil atlet di peringkat remaja. Prestasi mereka merosot, terdapat gangguan ketika tidur dan waktu makan mereka menjadi tidak teratur. Oleh itu, ramai daripada ahli sukan remaja ini mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada terlibat dalam pertandingan.

Cooley (1987), mendapati bahawa faktor sekeliling dan pengetahuan tentang pihak lawan adalah pengaruh penting dalam menentukan kebimbangan atlet. Jangkaan atau tanggapan terhadap kepentingan dan kesukaran dalam sesuatu pertandingan (Weinberg dan Gould, 2007) adalah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kebimbangan atlet seterusnya boleh mempengaruhi prestasi atlet.
Schellenberger (1990), mendapati bahawa psikologi sukan telah menentukan bahawa tekanan psikologikal adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang terdapat di luar daripada aktiviti sebenar yang dipengaruhi secara negatif oleh tekanan ini. Faktor-faktor ini termasuklah kesihatan kurang baik, konflik dalam keluarga, perhubungan tegang dengan rakan sepejabat atau ketua, keadaan kehidupan, masalah seksual, masalah kewangan, perasaan kekecewaan atau masalah komunikasui secara umum.

2.9. Kaedah-Kaedah Untuk Mengurangkan Kebimbangan Pertandingan

Ramai di kalangan ahli sukan telah meminta bantuan dan bimbingan daripada pakar-pakar psikologi sukan kerana mengalami masalah tekanan yang amat tinggi sewaktu sebelum menghadapi sesuatu pertandingan (Smith, Smoll, dan Schutz, 1980).

Antara cara berkesan untuk mencapai paras kebimbangan yang sesuai sewaktu menghadapi sesuatu pertandingan adalah dengan mengamalkan teknik ‘relaxation’ (Bull, 1991).

Biddle, (1995) menyatakan antara langkah yang diambil oleh pakar psikologi sukan untuk membantu atlet mengurangkan kebimbangan dalam pertandingan adalah dengan mengajar atlet terbabit dengan satu bentuk teknik pengurusan tekanan bagi mengurangkan tanda-tanda kebimbangan.

Crocker (1992) mendapati atlet melakukan strategi seperti meningkatkan usaha, merancang, merahsiakan aktiviti pertandingan, penyelesaian masalah secara aktif dan menyalahkan diri sendiri sebagai kaedah untuk menurangkan tekanan ketika pertandingan.

2.10. Rumusan tinjauan literatur

Berdasarkan tinjauan pendapat dan kajian yang dinyatakan di atas, jelas sekali bahawa tahap kebimbangan yang dialami oleh seseorang atlet ketika di peringkat sebelum pertandingan atau semasa pertandingan berlangsung mengganggu konsentrasi atlet daripada memberi tumpuan yang sepenuhnya dalam pertandingan yang disertainya. Di samping itu, penyelidik juga berminat untuk mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya kebimbangan dan kaedah-kaedah yang sering digunakan oleh atlet untuk mengurangkan kebimbangan sebelum pertandingan.di peringkat kebangsaan.




BAB III

Metodologi

3.1 Pengenalan
Tujuan utama penyelidikan ini adalah untuk mendapatkan maklumat tentang tahap kebimbangan atlet Kolej Matrikulasi Selangor . Aspek-aspek lain yang dikaji ialah mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya kebimbangan dan di samping itu mengetahui kaedah-kaedah yang sering digunakan oleh atlet Kolej Matrikulasi Selangor dalam menghadapi kebimbangan di peringkat pertandingan. Oleh itu, di dalam bab ini akan diperbincangkan aspek-aspek seperti berikut:

  1. Rekabentuk kajian
  2. Subjek kajian
  3. Instrumen kajian
  4. Skor instrumen kajian
  5. Kajian Rintis
  6. Penganalisaan data
  7. Kesimpulan

3.2. Rekabentuk Kajian


Kajian ini berbentuk deskriptif dengan menggunakan kaedah soalselidik untuk mengukur tahap kebimbangan atlet Kolej Matrikulasi di kejohanan Karnival Sukan Kolej Matrikulasi Selangor. Bagi mengenalpasti faktor-faktor yang disebabkan kebimbangan pertandingan, borang lampiran di sediakan dengan responden hanya perlu memilih mana-mana bahagian yang berkaitan sahaja.

3.3. Subjek Kajian


Subjek bagi kajian ini terdiri daripada 68 atlet yang menyertai kejohanan karnival sukan Kolej Matrikulasi Selangor sahaja yang berumur antara 17 dan 18 tahun di kejohanan Karnival Sukan Kolej Matrikulasi Selangor pada tarikh 27 Oktober hingga 31 Oktober 2010.

3.4. Instrumen Kajian


Untuk kajian ini, pengkaji mengunakan borang soal selidik Sport Competition Anxiety Test’ (SCAT) yang direka oleh Martens (1977) hasil daripada adaptasi daripada ‘State-Trait Anxiety Inventory’ (STAI) yang dikemukakan oleh Speilberger (1970).
Sebelum penggunaan SCAT, ia telah diubahsuai dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dengan cara ‘translate re-translate’. Kaedah ini dijalankan dengan cara memberikan salinan asal instrumen asal kepada seorang guru yang pakar dalam dwi bahagian iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang akan menterjemahkan instrumen tersebut Bahasa Melayu. Langkah seterusnya, instrumen yang telah diterjemahkan tadi akan di berikan pula kepada seorang lagi guru yang pakar dalam kedua-dua bahasa (Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu) untuk diterjemahkan semula ke dalam Bahasa Inggeris dengan tanpa merujuk kepada instrumen asal. Instrumen yang telah diterjemahkan kali kedua tadi dibandingkan dengan istrumen asal untuk diteliti agar tiada perbezaan dari segi maksud oleh kedua-dua orang guru tadi bersama pengkaji sebelum digunakan. (Mohd Nor, Mohad Anizu, Ali, dan Aldellah, 2008)
SCAT direkabentuk khas untuk mengukur tahap kebimbangan seseorang atlet dalam situasi pertama. Pemilihan instrumen ini bersesuaian untuk kajian yang di jalankan, memandangkan penggunaan yang meluas dalam kajian terhadap kebimbangan di kalangan atlet Amerika dan Eropah. (Cox, 2002)
Borang selidik ini adalah ‘self administering’ dan boleh ditadbirkan samada secara individu atau kumpulan. Masa untuk menjawab soalan daripada soal selidik ini tidak dihadkan dan biasanya ia boleh diselesaikan dalam masa 5 hingga 10 minit. Arahan-arahan yang lengkap, ringkas dan jelas disertakan dalam soal selidik ini. Borang soal selidik ini diedarkan sehari sebelum perlawanan pertama bermula.

3.5. Skor Instrumen Kajian


SCAT mangandungi 15 item situasi atau soalan di mana setiap item diberikan skor mengikut respon yang dipilih oleh subjek. Hanya 10 item sahaja diuji sebenarnya, iaitu item nombor 2, 3, 5, 6, 8, 9, 11, 12, 14 dan 15. Manakala item palsu adalah nombor 1, 4, 7, 10 dan 13. Item nombor 2, 3, 5, 8, 12, 14 dan 15 menunjukkan pandangan negatif dan diberi skor seperti berikut:


RESPON SKOR
Tidak pernah 1
Kadang-kadang 2
Selalu 3


Item nombor 6 dan 11 pula menunujukkan pandangan positif dan diberi skor yang songsang (reverse order) iaitu:
RESPON SKOR

Tidak pernah 3
Kadang-kadang 2
Selalu 1

Julat skor adalah di antara 10 hingga 30, di mana skor 10 hingga skor 16 menunjukkan tahap kebimbangan pertandingan yang rendah, seterusnya skor 17 hingga skor 23 menunjukkan tahap kebimbangan pertandingan yang sederhana dan skor 24 hingga skor 30 menunjukkan tahap kebimbangan pertandingan yang tinggi.
Bagi borang soal selidik yang digunakan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan kebimbangan pertandingan dan kaedah-kaedah untuk mengurangkan kebimbangan pertandingan melalui peratusan pemilihan jawapan. Perbandingan akan dilakukan berdasarkan peratusan pemilihan jawapan subjek.

3.6. Kajian Rintis


Sebelum kajian sebenar di lakukan, kajian rintis telah dijalankan ke atas subjek lain dan sebilangan daripada subjek sebenar kajian. Kajian rintis telah di jalankan pada Ogos 2010 ke atas 30 subjek lelaki yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Bakai (15) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra (15), Baling, Kedah dalam pertandingan tinju peringkat Daerah Baling/Sik berlangsung pada 3 Ogos 2010 yang lalu. Subjek yang dipilih adalah terdiri daripada mereka yang terlibat dalam sukan tinju sahaja. Soalselidik ini telah diberikan kepada subjek yang terpilih sebelum pertandingan iaitu ketika pendaftaran pertandingan .

Tujuan penyelidikan menjalankan kajian rintis adalah untuk melihat sejauhmana kefahaman subjek menjawab soalan-soalan yang disenaraikan dalam borang soalselidik yang telah diubahsuai ini. Antara masalah yang dikenalpasti adalah kesukaran subjek memahami soalan berbentuk terbuka (‘open ended’).


Penyelidik telah mengambil langkah memperbaiki soalselidik yang bakal digunakan dengan memurnikan lagi soalan dan arahan bersama beberapa rakan sekerja yang berpengalaman dalam bidang penyelidikan.

Data daripada kajian rintis telah dinalisis dan nilai Cronbach alpha yang diperolehi ialah .785. Hasil kajian rintis mendapati, min = 20.8, mod = 18, median = 20, minimum = 14 dan maksimum = 29. Pada keseluruhannya, didapati tahap kebimbangan subjek dikaji adalah pada paras yang sederhanaan. Daripada respon yang diperolehi, penyelidik telah mengambil langkah menyemak, mengkaji dan memperbaiki kelemahan yang wujud setelah menunjukkan kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang berkenaan.

3.7. Prosedur Kajian


Prosedur pengumpulan data dan maklumat bagi penyelidikan ini adalah seperti berikut:
Borang soal selidik yang bertujuan menguji tahap kebimbangan atlet di peringkat pertandingan telah diberikan kepada subjek sehari sebelum pertandingan. Selain daripada penyelidik sendiri, penyelidik juga telah meminta bantuan pengurus/jurulatih pasukan setiap acara memanah, olahraga, tinju, angakat berat dan sepaktakraw, negeri Kedah yang diberikan tanggungjawab untuk mengedar dan mengumpul semula borang soal selidik daripada subjek.

Ini bertujuan untuk mengatasi masalah pertandingan yang berlangsung serentak dan tempat pertandingan yang letaknya agak berjauhan antara satu sama lain. Arahan dan tunjuk ajar telah diberikan kepada pengurus/jurulatih sebelum menjalankan tugas untuk memastikan proses pentadbiran soal selidik dilaksanakan dengan baik dan terkawal. Bagi soal selidik dikutip semula sebaik sahaja responden selesai melengkapkannya.

3.8. Penganalisisan Data


Berdasarkan maklumat-maklumat daripada soal selidik yang telah ditadbirkan, data tersebut dikumpul dan dikodkan. Selepas itu, soal selidik telah dipindahkan ke borang koding (coding sheets) untuk memudahkan kemasukan data ke dalam komputer. Data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan perisian komputer ‘Statistical Package For The Social Sciences’(SPSS).


Dua jenis statistik digunakan iaitu statistik inferensi dan statistik deskriptif yang menghasilkan kekerapan, peratusan dan min adalah untuk menjawab persoalan kajian 1, 2 dan 4. Manakala statistik inferensi yang berbentuk ujian-t digunakan untuk menjawab soalan kajian yang ke-3. Di samping itu, julat skor SCAT mengikut tahap kebimbangan pertandingan adalah seperti berikut:
SKOR TAHAP

10 – 16 Rendah
17 – 23 Sederhana
24 – 30 Tinggi

Bagi mengenalpasti faktor-faktor penyebab dan kaedah-kaedah mengurangkan kebimbangan di peringkat pra pertandingan, skor diberi melalui peratusan pemilihan jawapan untuk dibuat perbandingan.

3.9. Kesimpulan


Bab ini menghuraikan metodologi kajian yang telah dijalankan. Aspek yang telah dibincangkan ialah rekabentuk kajian. Subjek kajian, instrumen, skor instrumen kajian, prosedur kajian dan penganalisaan data.

Kajian ini adalah satu kajian deskritif yang menggunakan satu set soalselidik sebagai instrumen kajian. Kajian ini tertumpu kepada satu populasi atlet karnival sukan Kolej Matrikulasi Selangor.

Item-item yang digunakan dalam kajian ini telah diubahsuai dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu oleh orang yang pakar dalam dwibahasa . Maklumbalas subjek yang diperolehi daripada jawapan soalselidik dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan infrensi yang bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan tahap kebimbangan subjek di peringkat pertandingan, serta menentukan faktor-faktor yang menyebabkan kebimbangan dan kaedah-kaedah untuk mengurangkannya.

borang soal selidik SCAT (kebimbangan)


BORANG SOAL SELIDIK
Kajian Terhadap Kebimbangan Atlet Sebelum Pertandingan Di Karnival Kokurikulum Matrikulasi Ke-11 2011


Soal selidik ini bertujuan untuk mengetahui perasaan saudara/ saudari dalam situasi pertandingan. Segala maklumat yang saudara/ saudari berikan adalah untuk tujuan kajian ilmiah semata-mata dan akan dirahsiakan. Kerjasama dan peranan saudara/ saudari amat berharga dalam kajian ini. Saya percaya dengan status saudara/ saudari sebagai guru/ pelajar dan pengalaman sebagai seorang ahli sukan, hasrat untuk memperolehi maklumat yang jujur dan tulen akan lebih berkesan.


Saya menghargai jasa saudara/ saudari dan ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan.


PANDUAN MENJAWAB
  1. Jawab semua soalan
  2. Jawab secara perseorangan
  3. Jawab mengikut arahan yang diberikan


BAHAGIAN A


BIODATA


ARAHAN : Sila tandakan ( ∕ ) dalam petak yang disediakan.


  1. Umur : 18 atau 19 tahun

  1. Jenis permainan yang saudara/ saudari sertai di KAKOM 2011

    …...........................................................


  1. Pengalaman saudara/ saudari bermain dalam sukan tersebut.
1 – 4 tahun

5 tahun ke atas










  1. Peringkat pertandingan tertinggi yang pernah saudara/ saudari sertai.



Kolej

Daerah

Negeri

Kebangsaan

Antarabangsa




















  1. Apakah yang biasa saudara/ saudari lakukan untuk mengurangkan kebimbangan sebelum pertandingan? (Saudara/ saudari hanya boleh memilih SATU daripada pernyataan di bawah).

Berjalan sambil tenangkan fikiran

Bercakap kepada diri sendiri

Membaca doa

Menarik nafas panjang

Berbincang dengan orang lain

Mendengar muzik

Mengunyah gula getah

Menggerakkan anggota badan

Berehat dan bertenang

Berbaring dan melelapkan mata

Imiginasi (imagery)

Meditasi

Lain–lain (sila nyatakan)































BAHAGIAN B





SOAL SELIDIK PERTANDINGAN ILLINOIS
SPORT COMPETITION ANXIETY TEST
(SCAT)


UNTUK ORANG DEWASA



BORANG A







ARAHAN :

Berikut adalah beberapa pernyataan tentang bagaimana perasaan seseorang semasa bertanding di dalam pertandingan sukan dan permainan. Baca setiap pernyataan dan berikan respon anda yang sesuai.


Panduan maklumbalas mengikut huruf :

Tidak Pernah
A
Kadang-kadang
B
Selalu
C


Bertanding dengan orang lain adalah menyeronokkan dari segi sosial.
A
B
C
Sebelum bertanding saya berasa tidak selesa.
A
B
C
Sebelum bertanding saya merasa bimbang dan tidak dapat melakukannya dengan baik.
A
B
C
Saya seorang ahli sukan yang baik apabila bertanding.
A
B
C
Apabila bertanding, saya bimbang akan melakukan kesilapan.
A
B
C
Sebelum bertanding saya tenang.
A
B
C
Menetapkan matlamat adalah penting apabila bertanding.
A
B
C
Sebelum bertanding, perut saya merasa mual.
A
B
C
Sebaik saja sebelum memulakan pertandingan, saya dapati jantung saya berdenyut lebih cepat daripada biasa.
A
B
C
Saya suka bertanding dalam permainan yang memerlukan banyak mengunakan tenaga fizikal.
A
B
C
Sebelum bertanding saya merasa relaks.
A
B
C
Sebelum bertanding saya merasa resah.
A
B
C
Sukan berpasukan lebih menarik daripada sukan individu.
A
B
C
Saya berasa resah bila permainan dimulakan.
A
B
C
Sebelum bertanding, saya selalu berasa ketegangan.
A
B
C


BAHAGIAN C

Berikut adalah beberapa situasi yang merupakan faktor yang mempengaruhi TAHAP KEBIMBANGAN saudara/ saudari sebelum pertandingan. Saudara/ saudari dikehendaki memberi jawapan samada BENAR, TIDAK PASTI atau TIDAK BENAR kepada situasi yang dinyatakan di sebelah dengan menandakan ( / ).


BIL
SITUASI
BENAR
TIDAK PASTI
TIDAK BENAR
Tahap kecergasan fizikal



Tempat perlawanan



Pengalaman bermain



Pengadil



Penonton



Pasukan lawan



Jurulatih atau pegawai



Perlawanan yang lalu



Cuaca



Media massa



Persediaan untuk pertandingan



Kesihatan



Kurang rehat / tidur



Pemakanan




Faktor-faktor lain yang MEMPENGARUHI TAHAP KEBIMBANGAN saudara/ saudari sebelum sesuatu pertandingan (sila nyatakan).



Terima Kasih